Umum diketahui bahawa bintang Argentina, Lionel Messi tidak akan diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Indonesia pada 19 Jun ini.

Messi diturunkan pada aksi menentang Australia semalam dimana Argentina berjaya mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan pemain baharu Inter Miami itu dan juga German Pezzella.

Selepas bertemu Australia, skuad Argentina akan terbang ke Jakarta bagi menghadapi skuad Garuda dan pemenang Piala Dunia 2022 itu tidak ikut serta bersama pasukan.

Lionel Messi
Sumber Gambar: Barca Blaugranes

Menurut laporan Goal.com, Messi enggan beraksi pada perlawanan kedua kerana beliau mahu bercuti selepas menghadapi musim yang panjang.

Musim 2022/2023 merupakan satu musim yang panjang khususnya pemain yang beraksi di liga utama di Eropah dimana mereka bukan saja menghadapi saingan domestik, ada diantara mereka yang turut beraksi dalam temasya Piala Dunia 2022 di Qatar.

Lionel Messi juga tidak terkecuali dimana beliau membantu negaranya memenangi trofi Piala Dunia dengan menewaskan Perancis di perlawanan akhir.

Messi mahu berehat secukupnya sebelum beliau turun beraksi bersama Inter Miami dalam saingan Major League Soccer (MLS) yang mana kelab itu sedang menghuni tangga tercorot dalam saingan MLS Eastern Conference.

Bagi perlawanan menentang Indonesia, pengendali Argentina iaitu Lionel Scaloni dijangka membuat perubahan dengan menurunkan barisan kedua.

Akan tetapi, Argentina masih lagi mempunyai beberapa pemain bintang selain Messi yang boleh diturunkan seperti Julian Alvarez, Angel Di Maria, Alexis Mac Allister dan pemain muda iaitu Alejandro Garnacho yang membuat penampilan pertama ketika bertemu Australia.